Wednesday, October 8, 2008

FLAVIVIRUS

CERPEN- FLAVIVIRUS

“ Airin, kenapa badan kau berpeluh ni. Sampai basah baju ni.” Mardhiah kehairanan. Selalu sangat Airin berpeluh pagi-pagi. Sampaikan basah baju yang dipakai. Cuaca panas tak juga. Masakan dia tidak merasa bahang panas seperti kawannya.

“ Entahlah Mar. Malam tadi satu badan panas. Berpeluh-peluh aku. Dah dekat seminggu macam ni. Erm..tak ada apa-apalah. Biasalah panas malam-malam. Lagipun aku tidur jauh dari kipas. Tu yang jadi panas semacam tu.” Airin menghilangkan keresahan yang melanda di benak rakan baiknya. Dia juga hairan dengan keadaannya. Tapi sekadar membiarkan sebagai keadaan yang biasa. Mungkin kadar metabolismanya tinggi berbanding orang lain. Dia membuat andaian sendirian.

Airin mencapai tuala dan bergegas ke bilik air. Baju yang basah dengan peluh itu dimasukkan ke dalam baldi untuk di basuh. Pantas dia membersihkan diri, menggosok gigi dan memcuci mukanya yang punya sedikit jeragat. Sekali-sekala dia bersin akibat kesejukan terkena air diwaktu pagi. Sejak kecil dia mempunyai resdung atau dalam bahasa perubatannya dikenali sebagai sinusitis. Dia pernah mendapatkan rawatan kampung dan moden untuk merawat penyakitnya itu. Tetapi menurut doktor, sinusitis yang dialaminya adalah jenis kronik. Masalah ini menyebabkan rasa kurang selesa yang berpanjangan. Kadang-kadang dia menjadi tidak selesa dengan cecair yang keluar dari rongga hidung serta sakit pada bahagian muka, tepi hidung dan dahi. Dia pernah mendapatkan rawatan endoskopi hidung yang menunjukkan tanda-tanda radang dalam rongga hidung dengan nanah yang kelihatan jelas keluar melalui rongga sinus. Tapi dia sembuh untuk jangka pendek sahaja. Selepas itu penyakitnya datng kembali. Sejak itu dia mengambil antibiotik, mengelakkan makanan alahan seperti udang, sotong, dan makanan yang akan menambahkan lagi ketidakselesaan pada hidungnya. Namun, apabila terkena air yang sejuk dalam jangka masa yang lama terutamanya awal pagi, alahan pada hidungnya akan menjadi-jadi. Airin, mencapai tuala kecil dan mencuci hidungnya dengan ubat sembur seperti yang disarankan oleh doktor. Perlahan dia menggosok hidungnya. Membelek-belek wajah putih kemerahan miliknya di hadapan cermin. “ Argh.. memang betul kata Cikgu Shahidan, perempuan pantang nampak cermin, habis dibelek wajahnya walaupun ada sebiji jerawat.” Bisiknya perlahan, apabila terkenangkan guru biologinya yang masih bujang itu.

Nasi berlaukkan ayam madu dan pucuk paku goreng dihadapannya tidak langsung membuka selera Airin. Biasanya waktu tengahari begini, adalah waktu kemuncak dia menikmati hidangan dengan penuh berselera. Semua orang akan kalah. Tapi kali ini sangat berbeza. Dia tiada selera langsung untuk menjamah makanan. Sudah beberapa hari begitu. Tidur malamnya juga sering terganggu. Badannnya gatal-gatal dan berpeluh-peluh. Pernah satu malam dia meracau kerana terlalu tidak selesa sewaktu sedang tidur. Kawan- kawan serumahnya membuat andaian Airin sedang frust bercinta. Sejak berpisah dengan Is, Airin banyak mendiamkan diri dan meracau-racau dalam tidur. Kadang-kadang badannya seram sejuk.

“ Ish, Dahsyat juga ya penyakit putus cinta ni. Kalau macamni tak bercinta pun tak apa.” Moon bersuara sinis. Dia rimas melihat keadaan Airin sedemikian rupa.

“ Kau ni, jaga sikit mulut tu. Kecil hati Airin kalau dia dengar.” Wani bersuara perlahan. Timbul simpati di hatinya mengenangkan penyakit aneh yang menimpa Airin. Mardhiah hanya sekadar mendengar sambil jari jemarinya ligat menekan kamus elektronik yang menawarkan 15 bahasa selain bahasa Mandarin, Sepanyol, Italy, Jerman, Korea dan lain-lain untuk melengkapkan tesis bahasa antarabangsanya yang perlu dihantar dua minggu lagi.

Kiriman mesej dari Is tidak di balasnya. Airin mengerutkan dahinya. Perlahan tangannya memicit-micit kepalanya yang sedang berdenyut kesakitan. Handphone Airin terus-terusan berbunyi, panggilan dari Is. Airin mengabaikan panggilan tersebut. Dengan wajah berkerut dia memicit-micit kepalanya berulangkali. Sejak kebelakangan ini kesihatannya sangat terganggu. Kesibukannya mengendalikan Program Semarak Kasih bersama anak yatim dan tugasan serta kuliah menyebabkan dia tiada kesempatan untuk mendapatkan rawatan. Badannya mula seram sejuk seperti biasa yang dialami sejak dua minggu yang lalu. Reseptor sejuk mendominasi deria sentuhan kulitnya. Sekali sekala menyebabkan bulu romanya meregang dan berdiri tegak untuk memerangkap haba. Sejak itu jugalah baju sejuk menjadi teman setia ke hulu dan hilir.

“ Airin, kenapa dengan kau ni. Kenapa tak diangkat hanphone yang sedang berbunyi tu! Nak pecah gegendang telinga aku ni.” Moon meninggikan suara. Telinganya bingit mendengar berulangkali ringtone telefon bimbit Airin berbunyi.

Dengan lemah Airin mematikan telefon yang berdering. Terus menekan butang untuk mematikan telefon bimbitnya. Menyambung kembali memicit kepala yang sakit. Moon sekadar menggeleng-geleng kepala.

*********
Airin menarik selimut menutupi seluruh tubuhnya. Matanya tidak mampu dibuka apatah lagi untuk menampakkan retina yang memantulkan cahaya yang dilihat membentuk imej. Dia sangat tidak berdaya. Badannya kian sejuk. Menggeletar yang amat dahsyat untuk meningkatkan kadar metabolisme bagi mengurangkan sedikit kesejukan. Dia cuba membuka mulut, melontar suara dari peti suara. Namun tidak berdaya. Kepala seolah-olah berat. Sejuk seluruh badan terutamanya tapak kaki dan tangan.

“ Airin, mari makan sikit. Jangan biar perut tu kosong. Nanti lagi sakit dibuatnya. Lupakanlah Is tu. Kau buat macamni bukan dia ambil berat pun.” Wani membebel sendirian sambil tangannya menatang dulang berisi bubur nasi dan air susu. Airin tidak mampu menjawab. Suara yang keluar dari peti suaranya tidak jelas kedengaran. Seolah-olah dia sedang meracau.

“ Eh Airin, kenapa dengan kau ni. Meracau-racau. Badan menggeletar. Ya Tuhan, panasnya badan kau.” Pantas Wani cuba merasa leher dan kepala Airin. Panas. Wani menarik selimut yang lebih tebal menutupi tubuh Airin. Dia tahu, orang demam biasanya sejuk didalam tetapi panas diluar. Namun, dia tidak pernah berpengalaman berhadapan dengan kepanasan badan yang begitu tinggi seperti dialami oleh Airin. Fikirannya runsing. Perlahan-lahan dia mencampakkan perasaan yang bukan-bukan jauh-jauh.
“ Moon, Mar cepat. Tengok Airin ni. Panas sangat badannya. Meracau-racau. Cepat!!! Risau aku.” Wani separuh menjerit. Tangannya mencapai tuala kecil, meremdam ke dalam air asam jawa. Lalu di tuam pada kepala dan leher Airin. Hanya itu yang dapat difikirkannya di saat kecemasan itu. Petua itu adalah petua turun temurun untuk merawat demam panas bagi menurunkan suhu badan yang diajar oleh neneknya.

“ Ish.. aku rasa Airin ni bukan sebab demam. Macam kes dibuat orang je. Meracau-racau. Satu badan menggeletar.” Moon bersuara. Tangannya menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Dia yakin semua gara-gara putus cinta dan Is yang menghantar ’ benda’ kepada Airin agar Airin tidak melupakannya.

“ Ish..ke situ pulak kau ni. Cuba jangan buruk sangka kalau tidak ada bukti. Siapa pulak nak buat Airin macamni. Dia tak pernah buat tak baik kat orang. Takkan ada orang sanggup buat dia macamni.” Mardhiah cuba membetulkan keadaan. Moon bungkam. Tidak bersuara.

“ Eh sudahlah tu. Jangan nak bergaduh. Cepat kita bersiap. Kita hantar Airin ke hospital. Mak aku cakap demam panas tak boleh buat main. Kena cepat berubat.” Wani bersuara sambil memakaikan Airin baju tebal. Mardhiah turut membantu. Perlahan mereka menyarungkan baju itu ke tubuh Airin. Tubuh Airin memang tidak berdaya langsung. Sekadar menurut perlakuan rakannya.

“ Entah betul ke tidak demam panasnya. Ni mesti kena buat dengan si Is tu. Tulah aku cakap, bercinta tu bermain dengan api.” Moon separa berbisik. Berlalu pergi untuk menukar pakaian.

*******

“ Kami terpaksa tahan Cik Airin beberapa hari di hospital. Suhu badannya 40 darjah celcius. Sangat tinggi dan membahayakan. Demam Cik Airin lain dari yang lain. Biasanya dalam keadaan normal, kadar nadi biasanya akan meningkat dengan ketinggian suhu, namun kes Cik Airin berbeza. Peningkatan nadi tidak selari dengan peningkatan suhu. Tambahan pula matanya merah dan terdapat kelenjar limpa yang membengkak di bahagian leher. ” Panjang lebar Doktor Ghaffar menerangkan.

Ibu Airin masih teresak-esak menangis. Mardhiah cuba menenangkan. Wani cuba memahami apa yang disampaikan. Moon masih belum berpuashati dengan keputusan penyakit Airin. Dia masih tetap dengan telahannya bahawa Airin terkena buatan orang. Ayah Airin cuba bertenang. Namun masih terpancar kerisauan diwajahnya.

“ Doktor, boleh kami tahu apa sebenarnya penyakit anak kami?” Ayah Airin bersuara. Tidak mampu menyimpan kerisauan yang terpahat dihati.

“ Setakat ini, kami mengesyaki Cik Airin mengalami demam denggi. Namun, mungkin juga malaria. Jadi kami perlu mengambil ujian darah untuk mendapatkan keputusan yang sebenar. Oleh itu, Cik Airin perlu dikuarantinkan di wad khas. Saya bimbang penyakit ini akan berjangkit sekiranya terdedah kepada gigitan nyamuk aedes kerana virus yang terdapat dalam darahnya boleh menjangkiti orang lain.” Doktor Ghaffar meneruskan penerangan sambil membelek maklumat perubatan Airin.

Wani menunjukkan riak wajah berfikir. Berkerut dahinya. Wani memang suka berfikir dan kaya dengan ilmu. Hobinya yang suka membaca banyak membantu kehidupannya. Jauh disudut hatinya dia berharap Airin sekadar demam denggi biasa sahaja. Kalau demam denggi biasa, Airin akan sembuh dalam tiga atau empat hari sahaja. Namun dia risau sekiranya Airin dijangkiti demam denggi berdarah. Dia teringat rakan karibnya Suraya. Suraya meninggal dunia disebabkan demam denggi berdarah. Suraya mengalami komplikasi pernafasan yang teruk dan pendarahan semasa membuang air besar. Selepas beberapa hari mengalami demam berdarah yang tinggi, dia pengsan. Ibu Suraya yang sarat mengandung turut pengsan kerana terkejut dengan perubahan mendadak Suraya. Tekanan darah Suraya turun dengan drastik. Namun, apa yang tidak dapat dilupakannya ialah apabila melihat pendarahan berlaku dimana-mana termasuk hidung. Semasa Suraya batuk, keluar darah dari mulutnya. Air kencingnya juga turut mengandungi darah. Menurut doktor ini berlaku kerana sel platlet iaitu sejenis sel yang menghalang pendarahan berlaku menurun ke paras yang amat rendah. Tahap platlet itulah menjadi ukuran dan tanda penting kepada perubahan keadaan pesakit. Perlahan air mata Wani menitis mengenang saat akhir hidup rakan baiknya, Suraya. Tubuh Suraya kebiruan dan pergi menghadap Ilahi setelah diuji olehNya. Air mata Wani kian laju menuruni pipinya. Dia tidak mahu Airin mengikut jejak Suraya. Dia sayangkan Airin. Ibu dan ayah Airin juga sayangkan anak tunggal mereka ini. Mereka semua sayangkan Airin.

................................


“ Cik Airin, macamana hari ini?” Doktor Ghaffar tersenyum sambil menyemak rekod kesihatan Airin.

“ Alhamdulillah, semakin baik. Suhu badan saya pun dah turun. Cuma ruam merah masih belum hilang.” Airin melemparkan semanis mungkin senyuman buat doktor yang merawatnya.

“ Oh, jangan bimbang ruam merah tu.Ruam, bengkak pada tapak kaki dan tangan akan hilang dalam 2 hari lagi. Setakat ini, kami perlu menahan Cik Airin dalam tempoh 2 hari lagi. Flavirus telah menyerang Cik Airin. ”

“ Flavivirus?” Airin seolah-olah kurang mengerti apa yangdimaksudkan.

“ Ya, flavivirus. Sejenis virus dari nyamuk aedes sebagai vektor. Virus ini telah disuntik kedalam tubuh Cik Airin dan sudah selamat mengalami tempoh pengeraman. Flavivirus yang memasuki badan seseorang akan mengalami replikasi dengan kadar yang cepat semasa tempoh pengeraman. Apabila kuantiti mereka sudah banyak, badan pesakit


mula mengeluarkan tindak balas dengan mengeluarkan antibodi bagi melawan virus tersebut. Namun, dalam masa yang sama, semasa proses aktiviti perlawanan antara antibodi dengan virus ini berlaku, bahagian-bahagian tertentu dalam badan juga menerima akibat daripada proses tersebut.”


“ Boleh saya tahu, apa tujuan doktor mengambil darah saya sebelum ini?”

“ Erm.. darah yang diambil adalah untuk ujian tahap platlet. Salur darah menjadi separa telap yang boleh mengakibatkan isipadu cecair dalam darah dan badan menurun dengan mendadak sekali. Akibatnya sel platlet juga menerima akibat yang sama, iaitu menurun dari aras yang normal. Jadi ujian darah itu adalah untuk menguji aras platlet bagi menilai keadaan pesakit.”

“ Erm.. doktor bagaimana dengan rawatannya. Setakat ini, saya tidak diberikan apa-apa ubat. ” Airin ingin mendapatkan kepastian.


“ Setakat ini, masih belum lagi dijumpai ubat yang spesifik untuk merawat dan membunuh virus tersebut. Rawatan yang Airin jalani hanyalah bersifat memastikan komplikasi yang bakal hadir dapat ditangani dengan baik. ”

“ Maksud Doktor, virus yang terdapat di dalam badan kita akan dimusnahkan oleh antibodi yang terhasil secara semulajadi?” Wani bersuara setelah sekian lama mendiamkan diri. Selepas Airin di serang sakit, dia banyak mencari maklumat di internet tentang kemungkinan penyakit Airin. Dia tidak percaya dengan dakwaan Moon bahawa Airin terkena buatan orang.

“ Ya tepat sekali. Airin perlukan infusi sel platelet bagi meningkatkan kadar platelet dalam darah agar tiada pendarahan dalaman berlaku melalui larutan cairan badan seperti ’ranger lactate’ . Airin perlu minum air yang banyak dan air kencing Airin diambil untuk pemeriksaan kandungan platelet. ”

“ Airin, kau kena pastikan kau dehidrasi betul-betul, takut nanti ada masalah pada buah pinggang.” Wani menambah sambil tersengih memandang Doktor Ghaffar.

“ Wah, nampaknya lepas ni saya kena letak jawatanlah. Ada doktor pakar baru namapaknya.” Doktor Ghaffar bersuara sambil ketawa menampakkan barisan giginya yang putih.

“ Eh doktor, jangan cakap macam tu. Tiba-tiba saya jadi malu pulak. Tapi yang pasti Cik Moon, kawan kita ni bukan terkena buatan orang. Tapi buatan nyamuk aedes.” Wani berseloroh sambil menjeling ke arah Moon.

“ Yerlah. Aku yang salah faham. Airin, Moon minta maaf. Moon fikir bukan-bukan pasal Airin dan Is. Maafkan Moon ya Airin.” Moon menundukkan wajahnya sambil tangannya dihulurkan kepada Airin.

“ Airin maafkan. Terima kasih jaga Airin selama ini. ” Airin menyambut salam Moon sambil melemparkan senyuman yang manis. Wajahnya masih pucat.

“ Jadi lepas ni, kamu semua kena berhati-hatilah duduk dekat taman perumahan tu, bukan takut terkena buatan orang, tapi takut terkena buatan nyamuk!!” Ayah Airin bersuara diiringi deraian ketawa semua orang. Moon masih tersipu-sipu malu.

1 comment:

Nurul Aini Khairul Azhari said...

Kepada sesiapa yang membaca karya ini, bolehlah tinggalkan komen. Agar saya dapat baiki lagi mutu penulisannya. Saya budak baru belajar..