CERPEN: NURUL
Nurul memandang kosong air tembikai susu di hadapannya. Air kegemarannya itu tidak lagi mendapat tempat dihatinya buat masa itu. Telinga masih terngiang-ngiang kata-kata Christ. Soalan Christ bermain-main dimindanya. Masih belum punya jawapan. Dia sendiri tidak punya jawapan dan kepastian. Tapi dia yakin, Islam bukan begitu. Islam indah. Islam cantik. Islam tidak merendahkan agama lain. Islam bersifat adil. Dan yang pastinya apa yang dikatakan Christ bukan menunjukkan ciri-ciri Islam. Tidak!!!! Dia menafikan didalam hati. Hatinya memberontak. Menafikan sepuas-puasnya. Tapi dia tiada hujah yang tepat untuk membuktikannya. Bahkan dia sendiri tidak tahu akan jawapan kepada persoalan Christ. Kesedihan bertamu dihatinya. Sedih mengenangkan dirinya sendiri sebagai orang Islam tetapi terlalu cetek ilmu tentang Islam. Sehingga ada orang yang sewenang-wenangnya memburukkan agamanya.
Perlahan tangannya mencapai air tembikai susu yang sudah mula mencair ais didalamnya. Membaca bismillah separa berbisik. Meneguknya perlahan. Terasa segar tekaknya. Nikmat minuman yang Allah ciptakan buat hambaNya untuk dinikmati dan bersyukur kepadaNya. Segala puji bagi Tuhan sekalian alam. Satu persatu soalan yang dikemukakan oleh Christ bermain difikirannya. Berlegar-legar mencari jawapan kepada persoalan yang menggugat Islam.
Perlahan satu persatu episod di kantin sekolah menyinkap kembali memorinya. ” Nurul, boleh saya tanya sesuatu? Awak cakap semua agama pada dasarnya mengajar pengikutnya agar melakukan kebaikan. Tapi saya lihat ramai orang Islam yang jahat. Contohnya dekat pusat serenti majoritinya orang Islam, penagih dadah orang Islam, mat rempit Islam dan yang paling dahsyat lagi, ramai gadis-gadis Islam berzina dan membunuh janin yang tak bersalah tanpa belas dan kasihan. Adakah itu yang diajar oleh Islam.Dan kenapa awak menganut Islam?Sedangkan banyak larangan dalam Islam. Hijab yang awak pakai, awak tak rimas? ” soalan berani itu keluar dari mulut Christ.
Matanya tepat memandang Nurul. Menantikan jawapan dari sahabatnya itu. Nurul sedikit terkejut. Tapi dia cuba menunjukkan ketenangan di wajah bersihnya. Dia tidak boleh tergopoh gapah menjawab atau melenting. Itu bukan cara Islam. Namun jauh disudut hatinya, dia menyumpah-nyumpah dirinya kerana tidak mampu menjawab soalan itu. Soalan yang mencabar kewibawaan agama yang disayanginya. Dia terkedu. Memang ada kebenaran terhadap apa yang dikatakan Christ. Dia sendiri menyaksikannya kebenarannya. Setiap hari pasti ada berita yang tidak baik tentang orang Islam di media. Zina, bunuh, dadah, merempit dan semua yang buruk-buruk dan menyakitkan hati. Kebanyakkannya dilakukan oleh orang Melayu yang memegang title Islam. Soalan-soalan yang dilontarkan Christ menyesakkan nafasnya. Dadanya berombak menahan debaran.
” Erm..maaflah kalau soalan ini buat Nurul tak selesa. Saya hanya ingin tahu.” Christ menyedari perubahan pada dirinya. Dia tidak salahkan Christ. Dia yang bersalah kerana tidak mempunyai ilmu yang sewajarnya seorang Islam itu miliki. Dan dengan ilmulah dia dapat mempertahankan maruah agamanya. Dia tahu, Christ tiada niat untuk mempersendakan agamanya. Dia kenal Christ. Christ adalah kawan baiknya. Susah senangnya bersama Christ. Didalam kelasnya, hanya ada lima orang sahaja pelajar Islam. Selebihnya Buddha, Kristian dan Atheis. Tapi mereka menghormatinya. Biarpun ada sebilangannya memandang sinis pada imej bertudungnya. Ya, dia adalah satu-satunya pelajar yang bertudung didalam kelasnya. Shireen dan Fatimah lebih selesa untuk tidak bertudung. Dia tahu cabaran di sekolah itu sangat hebat. Pernah dia diarahkan oleh Puan Samantha, guru Kemahiran Hidupnya untuk menanggalkan tudung dengan alasan dia bimbangkan tudung Nurul akan rosak sewaktu melakukan aktiviti pertukangan. Tapi ilham dari Allah menyelamatkan mahkota yang perlu dijaganya. Perlahan dia memasukkan tudung yang menutupi bahagian dadanya ke dalam baju kurungnya. Nampak kemas dan dia tidak perlu membuka tudung yang menjadi pelindung dirinya sebagai seorang muslimah. Dengan cara itu sahaja yang dapat difikirkan untuk menyelamatkan dirinya dari terus membuka hijab yang menjadi benteng kepada maruahnya sebagai seorang wanita Islam. Dia tahu, hijab yang dipakainya adalah senjata seorang wanita. Semuanya jelas dalam Al-Quran yang terkandung didalam Surah Al-Ahzab ayat 59:
” Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Selepas melihat tindakan Nurul, Puan Samantha sekadar tersenyum dan berlalu pergi. Nurul tidak dapat mengagak apa yang difikirkan olehnya. namun dia berasa lega Puan Samantha tidak terus mendesaknya untuk menanggalkan hijab yang dipakainya.
” Erm..kenapa dengan adik akak yang seorang ’ni? Lama akan perhatikan adik. Monyok je mukanya. Nampak dah tak comel. Kenapa? Adik ada masalah?” Kak Izaty menarik kerusi lalu melabuhkan tubuhnya pada kerusi itu. Tangannya lembut mengusap rambut ikal Nurul. Nurul terkejut. Rupa-rupanya ada sepasang mata memerhatikannya. Perlahan dia mengangkat wajahnya, merenung tepat pada kakak sulongnya itu. Erm, mungkin Kak Izaty boleh selesaikan persoalan aku. Kak Izaty banyak mengajar aku ilmu agama. Ya!!pasti dia boleh menolong aku.
” Akak, boleh adik tanya satu soalan?” dia memulakan bicara. Kak Izaty mengangguk, menunjukkan minat. Sambil tangannya pantas menuang air tembikai susu dihadapannya. Tapi matanya masih tertancap memandang adiknya. Cuba menjadi pendengar setia. Dia tahu ilmu psikologi yang dipelajari di universiti sangat berguna untuk diaplikasikan dalam kehidupannya bagi menjamin hubungan yang baik dengan orang sekeliling. Tambahan pula dalam soal berdakwah.
Satu persatu soalan dari Christ dilontarkan oleh Nurul. Hatinya puas dapat meluahkan apa yang terbuku dihati. Dan dia tidak sabar menantikan jawapan dari kakaknya itu.
” Oh... perkara ini yang merunsing adik akak ya. Sebelum itu, boleh akak tanya satu soalan? ”
” Aik, Adik tanya akak, akak pula nak tanya Adik balik. Baiklah, tapi satu soalan saja.” Nurul berseloroh.
” Erm..selepas mendengar soalan-soalan Christ, adakah adik tidak yakin dengan pegangan adik?” Kak Izaty cuba menguji walaupun dia tahu jawapan yang bakal Nurul berikan.
” Adik yakin dengan Islam. Sangat yakin. Tapi adik tiada hujah dan ilmu untuk menjelaskan jawapan kepada persoalan adik. Adik mengaku, kelemahan adik kerana tidak mendalami ajaran yang dituntut oleh Islam itu sendiri. Tapi adik janji, lepas ’ni adik akan mengkaji lagi harta tinggalan Rasullullah, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.’
” Erm..Sejuk hati akak dengar azam adik. Ilmu itu sangat penting. Tanpa ilmu, kita akan menjadi manusia yang tidak bertamadun. Orang bukan Islam mudah menjatuhkan kita. Aqidah kita akan goyah. ”
”Akak tidak nafikan ada orang Islam yang tidak jujur, terlibat dengan gejala yang tidak baik dan sebagainya. Tetapi media hanya menggambarkan seperti hanya orang Islam yang terlibat didalam aktiviti tersebut. Sememangnya dalam setiap komuniti itu ada kambing hitam yang merosakkan kecantikan sebenar Islam. Tapi kita tidak boleh menilai Islam melalui orang Islam yang tidak mengamalkan ajaran Islam dengan sepenuhnya. ’
” Maksud akak?” Nurul bertanya penuh minat. Jari jemarinya bermain diatas meja.
” Begini, akak bagi satu contoh. Katakan kita ingin menilai betapa baiknya model kereta ’BMW’ yang baru dikeluarkan. Model ini sangat canggih dengan kelengkapan teknologi yang tinggi dan menarik. Tapi kereta ini dipandu oleh seorang yang tidak tahu memandu. Dia memegang stereng dengan cara yang salah dan membawa kereta tanpa mengikut peraturan yang ditetapkan. Lalu berlaku kemalangan dan meremukkan kereta. Jadi, siapa yang harus dipersalahkan? Kereta atau pemamdunya yang tidak tahu memandu dengan betul?” Kak Izaty mengjungkitkan bahunya meminta jawapan.
” Sudah tentulah pemandunya yang akan dipersalahkan.” Nurul menjawab ringkas.
” Erm..pandaipun adik akak. Macamtulah dengan Islam. Kita tidak boleh menilai Islam melalui pengikutnya yang tidak mengamalkan Islam secara menyeluruh. Jika kita ingin menilai Islam, maka buatlah penilaian menerusi sumber-sumber Islam yang sahih iaitu Al-Quran dan Hadis Sahih.”
” Ooo. Nurul dah nampak apa yang akak maksudkan. Kalau kita ingin menilai betapa baiknya sesebuah kereta itu, kita kena letakkan seorang pemandu yang cekap, mahir dan mematuhi peraturan memandu serta mahir memegang stereng. Betul tak?” Ada sinar dimata Nurul. Persoalan yang bermain difikirannya kian terjawab. Minatnya terhadap Islam kian mendalam. Tekad hatinya untuk menjadi orang yang berilmu. Dan pastinya semua ini akan disampaikan kepada Christ.
” Betul, sayang. Dalam Islam kita ada seorang model yang paling unggul yang wajar menjadi role model kepada semua orang.”
” Maksud akak Nabi junjungan besar kita?”
” Betul tu. Nabi Muhammad S.A.W adalah contoh teladan yang terbaik. Ini bukan sahaja diakui oleh orang Islam sahaja, tapi oleh orang bukan Islam seperti Michael H.Hart yang menulis buku ” The Hundred Most Influential Men in History”. Michael menyatakan kedudukan teratas, iaitu kedudukan nombor satu jatuh kepada Nabi Muhammad S.A.W.” panjang lebar Kak Izaty menjelaskan. Senyuman manis terukir di bibir merahnya.
’ Wah..hebatkan Islam. Adik tak sabar nak bagitahu Christ. Erm..bagaimana dengan persoalan tentang semua agama menyeru pengikutnya melakukan kebaikan. Tapi kenapa kita perlu memilih Islam. Sedangkan agama lainpun mengajak pengikutnya berbuat baik.” Nurul meneguk air tembikai susu yang masih berbaki. Sesekali dia memandang ke jendela melihat matahari kian melabuhkan tirai. Sungguh indah alam ciptaan Allah untuk hambaNya.
”Banyak pula soalan adik akak ni. Takpe, yang penting kalau tak tahu bertanya. Jangan buat sesuatu amal itu hanya mengikut tanpa mengetahui sebab musababnya dan memahaminya. Bila kita faham, barulah amal kita lebih bermakna dalam hidup kita. Erm..memang semua agama pada dasarnya menyuruh manusia kepada kebaikan dan menjauhi kejahatan. Tapi, adik kena ingat Islam lebih dari itu.”
”Maksud akak?” Nurul memandang kehairanan.
” Islam membimbing kita ke arah cara yang praktikal untuk memperoleh kebaikan dan menghapuskan kejahatan. Islam bukan sahaja mengambil fitrah manusiadan kerumitan masyarakat, tetapi Islam adalah petunjuk daripada Allah yang menciptakan setiap kejadian di alam ini.’
” Adik kurang jelas lagi. Boleh tak akak beri contoh yang lebih praktikal?”
” Erm..ok. Semua agama mengajar mencuri adalah satu perbuatan yang salah. Tapi dalam Islam selain mengajar bahawa merompak itu perbuatan salah, Islam juga menunjukkan cara praktikal bagi menangani masalah ini.”
”Bagaimana?” Nurul mengajukan soalan bertubi-tubi. Perasaan ingin tahunya kian membuak-buak.
” Dalam Islam, kita ada sistem zakat. Dalam Undang-undang Islam menentukan setiap orang Islam yang mempunyai wang simpanan melebihi tahap nisab iaitu lebih daripada 85 gram emas, patut memberi 2.5% daripada simpanan tersebut kepada yang memerlukan pada setiap tahun kamariah. Jadi setiap orang yang berkemampuan mengeluarkan zakat dengan ikhlas, maka kemiskinan dapat dibasmi didunia ini.” Panjang lebar Kak Izaty menerangkannya.
” Betul tu. Baru adik sedar. Sungguh cantik hukum Islam. Tapi bagaimana dengan isu hijab? ”
”Islam melarang keras mencabul dan merogol wanita. Begitu juga agama utama lain. Tapi uniknya Islam ialah Islam telah menetapkan cara yang sangat cantik untuk mengelakkan pencabulan dan perogolan. Syariah Islam menetapkan agar semua wanita Islam berpakaian menutup aurat untuk mengelakkan pencabulan dan perogolan. Dan Syariat Islam menetapkan hukum bunuh terhadap perogol jika disabitkan kesalahan.”
” Tapikan akak, ramai orang bukan Islam menyatakan hukum Islam kejam dan tidak berhati perut.” Nurul menambah, cuba merungkaikan setiap permasalahan yang bermain diminda.
” Erm.. cuba adik tanya pada lelaki bukan Islam, jika ibu atau kakak atau isteri atau adik perempuan mereka dirogol, kemudian dia adalah hakim terhadap kes tersebut, apakah hukuman yang akan diberikannya. Sudah tentu dia akan menjatuhkan hukuman bunuh. bahkan ada yang lebih dahsyat dari itu akan menyeksa dahulu pesalah sebeluh dihukum bunuh. Tapi hukum Islam sangat cantik. Setiap hukuman yang diambil akan diadili seadil-adilnya sehingga terbukti pesalah bersalah. ” Kak Izaty menerangkan dengan panjang lebar. Bibirnya tidak pernah lekang tersenyum menampakkan wajahnya yang berseri.
” Erm..adik tak sabar nak ceritakan kepada Christ. Christ kawan baik adik. Christ banyak bantu adik. Adik mesti bawa dan ajak dia kenal kecantikan Islam. Adik tak nak masuk syurga sorang-sorang. Adik nak bawa Christ bersama.”
” Wah, adik akak dah pandai sekarang. Akak harap adik tak putus asa untuk ajak Christ kenal agama kita. Islam yang sangat indah dan cantik. Dan lagi satu, setiap kali selepas solat, adik jangan lupa doa pada Allah agar dibukakan pintu hati Christ terhadap Islam. Ingat..yang membolak balikkkan hati manusia ialah Allah. Maka pada Dialah tempat kita meminta pertolongan.” Kak Izaty tersenyum puas melihat semangat yang terpamer diwajah Nurul.
” Christ...saya sayangkan awak. Awak kena kenal Islam. Awak kena kenal kecantikan Islam. Saya janji akan kenalkan awal pada keindahan Islam. Awak amanah yang Allah berikan kepada saya. Saya tak akan sia-siakan awak.” Nurul bertekad didalam hati. Dia senyum sendirian. Menantikan hari esok...mengharapkan rahmat dan petunjukMu Ya Allah...
Friday, October 10, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment