Sunday, December 14, 2008

Ayuh..hidup terus bermotivasi

AYUH!!!!! HIDUP TERUS BERMOTIVASI.

Terasa cepat sungguh masa berlalu. Tup tap tup tap, dah masuk tahun 2009. Argh.. pastinya kedengaran suara adik-adik mengeluh nak kembali ke alam persekolahan. Tapi ada juga dikalangan adik-adik yang sudah tidak sabar menanti alam persekolahan bermula. Wah...tak sabar nak pakai baju baru, kasut baru dan macam-macam lagilah yang baru. Tapi macamana dengan azam adik-adik? Semangatnya masih di takuk lama? Atau masih tidak bersemangat untuk meneruskan hari-hari mendatang yang kian mencabar? Makin meningkat remaja, makin pula masalahnya...Mungkin ayat ini pernah keluar dari mulut adik-adik.

Hmm.. bukan dikatakan hidup kalau tidak dikelilingi dengan masalah. Tapi perlu diingat, bak kata Dr HM Tuah, masalah itu adalah perencah kehidupan. Masalah menjadikan kehidupan kita berwarna warni. Kadang-kadang, waktu kita yang sibuk itu akan menjadi kenangan yang paling manis buat kita. Saat mengingat kembali bagaimana batang tubuh kita berjaya mengharunginya. Betapa indah mengingati saat itu. Kadang-kadang macam tak percaya dibuatnya. Itulah hakikatnya kalau kita berjaya menangani semua tekanan dengan baik dan positif. Namun, bagaimana kita sendiri dikuasai oleh tekanan itu. Hidup tidak terurus. Kalau di kelas, sering mengantuk, kerja sekolah sering tertangguh, dan semuanya tidak menjadi.

Untuk kali ini, InsyaAllah kita akan sama-sama berkongsi tentang bagaimana mengekalkan motivasi diri. Kenapa motivasi diri perlu dikekalkan? Analoginya begini, hidup ini umpama sebuah lukisan. Kita adalah pelukis dilukisan itu. Pastinya cara kita semua berbeza untuk mencorakkan lukisan itu. Ada yang memilih jalan dan corak yang sukar, dan ada pula yang memilih jalan yang senang dan mudah. Itu terpulang pada gaya masing-masing, yang pentingnya kita tahu apa yang kita mahukan dan bergerak kearah kemahuan tersebut. Jangan sesekali berhenti sehingga apa yang ingin dicapai itu belum tercapai. Tapi, inilah satu perkara yang paling sukar kita lakukan kerana ianya memerlukan kita mengekalakan motivasi diri dalam tempoh masa yang panjang. Tapi semua itu adalah tidak mustahil. Seperti yang dinyatakan oleh Dato’ Dr Fazilah Kamsah, dalam tulisannya; ‘Kita seharusnya meyakini hakikat bahawa Allah itu adil. Justeru, semua orang dilahirkan sama hebat tapi tidak serupa. Kehebatan kita berbeza-beza. Orang yang berjaya dan cemerlang ialah mereka yang telah menggunakan segala sumber dan kekuatan yang Allah beri secara produktif dan terarah.

Berdasarkan perbincangan diatas, mari kita teruskan dengan Tips Mengekalkan Motivasi Diri.

1. Sayang pada Dia.
Dia yang menganugerahkan rasa sedih, gembira, suka dan duka kepada kita. Dia jugalah yang mengubati dan mengisi jiwa yang kosong. Dia yang memberi makan dan minum sewaktu kita lapar dan dahaga. Waktu kita kita sakit, Dialah yang menyembuhkan kita. Dialah sebaik-baik pemberi dengan penuh rahmat dan kasih saying. Jadi sudah tentulah pada Dialah kita mengadu. Mintalah pada Dia agar kita dapat meneruskan kehidupan ini dengan lancer dan sentiasa dimudahkan segala urusan. Bermunajatlah padaNya. Merintih padaNya. Curahkanlah kasih saying kita padaNya. Kerana sesungguhnya Allah akan lebih menyayangi kita berkali-kali ganda kerana kasih sayang kita padaNya yang dizahirkan dalam setiap perlakuan kita.

2. Imbas kembali sirah Rasullullah SAW.
Dengan sedikit ujian di dunia, kita sudah tidak mampu meneruskan hidup atau dengan kata lain hidup kita sudah mula kucar kacir. Tapi pernahkah kita memikirkan sebentar bagaimana getirnya ujian Rasullullah SAW dalam menyampaikan agama Allah? Baginda disakiti, dihina, dipulaukan dan diperlakukan dengan berbagai-bagai penyeksaan. Namun, baginda masih lagi bermotivasi tinggi untuk meneruskan perjuangan menegakkan agama Allah dimuka bumi ini. Sesungguhnya, Rasullullah SAW adalah sebaik-baik model kepada kita. Ambillah inspirasi dari baginda. Bertepatan dengan firman Allah Taala dalam Al-Quran:

‘ Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) di akhirat.’ (Al-Ahzab :21)

3. Ayah dan ibu, itulah permulaan kita.
Mintalah restu ayah dan ibu dalam setiap amalan yang kita lakukan. Ramai diantara kita lokek ‘kredit’ untuk menghubungi ayah dan ibu di kampung. Luangkanlah masa dan ‘kredit’ untuk menghubungi mereka. Minta mereka doakan kita. Ingatlah, doa ibu dan ayah dimakbulkan Allah. Minta mereka untuk doakan kita agar terus bermotivasi untuk meneruskan hari-hari yang kian mencabar. Dan jangan sesekali lupa untuk doakan kedua ibubapa kita. Rasulullah pernah berpesan:

‘ Barang siapa yang tidak mendoakan kedua orang tua mereka akan tertutup pintu rezeki.’

4. Tanpa guru, dimanakah kita?
Kalau dulu, masa di sekolah, bila ada masalah kita selalu merujuk kepada guru. Dialah tempat kita menggali dan mengumpul sebanyak mana maklumat. Kalau berselisih di tepi jalan, pantas mulut kita memberikan salam. Bila menjelang peperiksaan, berpusu-pusu kita pergi meminta ampun dan maaf mengharapkan redha guru agar memberkati segala ilmu yang dicurahkan kepada kita. Tapi dengan satu persoalan sahaja, adakah kita masih lagi mengamalkan semua ini terhadap pensyarah kita yang sama baktinya seperti guru kita di sekolah?

5. Bantulah kawan yang memerlukan bantuan.
‘Kita akan gembira kalau kawan gembira. Kita akan sedih, kalau kawan kita sedih.’
Tanamkan dalam minda anda, kita adalah pakar rujuk kawan kita. Hulurkanlah bantuan jika diminta. Kita akan berasa puas jika berjaya membantunya. Dan apa yang lebih pasti, kita akan lebih bermotivasi jika tidak lokek menghulurkan bantuan. Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa;

‘ Allah akan membantu hambaNya selama hambaNya membantu saudaranya.’

6. Sayangilah diri sendiri.
Bagaimana? Sudah tentu dengam hidup yang seimbang. Pemakanan dijaga, tidur yang teratur, badan yang sihat, masa yang dipenuhi dengan perkara yang berfaedah dan akhlak dipelihara sebaik mungkin. Apabila hidup seimbang, sudah tentu kita sentiasa bermotivasi dan sentiasa positif dengan apa yang berlaku. Kuasailah minda anda untuk terus bermotivasi. Positiflah dengan ujian yang menimpa anda.

‘ Orang yang tidak berbuat apa-apa tidak akan melakukan kesilapan yang besar, tetapi tidak berbuat apa-apa adalah kesilapan yang paling besar.’

Hayati dan fikirkanlah. Teruskan beramal!!!!

No comments: